Side Views

Thorium Lynas tidak berbahaya — A. Rahman Omar

May 14, 2012

14 MEI — Saya terpanggil untuk mengulas mengenai perkembangan yang berlaku berpunca daripada cadangan untuk membangunkan loji memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Titik tolak kegelisahan ini adalah kewujudan thorium yang terdapat dalam bahan mentah yang akan diproses. Untuk pengetahuan pembaca, thorium juga terdapat dalam amang (tahi bijih timah). Di sini saya ingin menyatakan beberapa fakta yang dipersetujui oleh masyarakat sains sejagat.

Thorium secara semula jadi mempunyai satu isotop (Thorium 232) dan ia mempunyai separuh hayat 14 bilion tahun. Ia mereput dan menghasilkan zarah alfa dan zarah itu mempunyai tenaga empat MeV. Tiada keraguan tentang fakta-fakta tersebut. Di sini saya ingin menjelaskan apa yang dimaksudkan dalam pernyataan tersebut.

Separuh hayat selama 14 bilion tahun bererti separuh daripada thorium yang ada akan mereput dalam masa 14 bilion tahun. Separuh lagi masih utuh. Kalau Lynas dikatakan akan memproses 22,000 tan galian dan kandungan thorium adalah 10 peratus, mengikut anggaran Save Malaysia Stop Lynas (SMSL). Bermakna akan wujud 2,200 tan thorium. Separuh daripadanya (1,100 tan) akan mereput. Sekiranya reputan berlaku dalam 1 bilion tahun, purata reputan harian adalah tiga miligram (mg). Sekiranya reputan berlaku dalam 10 bilion tahun, purata reputan harian adalah 0.3mg.

Kesimpulannya daripada 22,000 tan yang diproses, purata yang mereput adalah kurang daripada 0.3mg sehari. Angka 0.3mg adalah tiga gram dibahagi dengan 10,000. Adakah amaun ini boleh membunuh atau memusnahkan alam sekitar?

Fakta seterusnya, zarah alfa yang dipancarkan mempunyai tenaga sebanyak empat MeV. Zarah ini boleh merentasi udara sejauh 2.5 sentimeter atau satu inci. Ini bererti udara setebal satu inci sudah cukup menjadi perisai untuk melindungi kita dari thorium yang mereput. Thorium yang tidak mereput adalah tidak berbahaya.

Dalam air, sinaran alfa merentasi kurang daripada satu mikron. Angka ini merujuk kepada satu milimeter dibahagi dengan 1,000 dan ia terlalu nipis. Zarah alfa dari reputan thorium tidak akan dapat menembusi kulit kita (andaian bahawa kandungan badan manusia adalah 90 peratus air). Kalau sinaran itu tak sampai kepada kita dan jikalau sampai pun, ia tidak dapat menembusi kulit kita, jadi apa masalahnya?

Saya memohon kepada sesiapa yang menulis tentang keburukan thorium, tolonglah tulis berlatarbelakangkan fakta. Cerita mesti konsisten dengan fakta sains. Saya mengakui bahawa setiap pembaharuan mempunyai risiko. Saya bersedia untuk berganding bahu dengan SMSL memantau loji Lynas di Gebeng dan saya akan menjadi orang pertama untuk menyatakan kepada khalayak ramai sekiranya ada pelanggaran peraturan yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa. Akan tetapi saya tidak akan berdiam diri sekiranya rakyat Malaysia diperbodoh-bodohkan.

Satu fakta lagi yang perlu di nyatakan adalah thorium wujud dalam bentuk sebatian kimia thorium dioksida, thorium sulfat dan beberapa bentuk lain. Sebatian ini didapati tidak larut dalam air dan ketumpatannya adalah sekitar 10 kali ganda ketumpatan air. Mencampurkan sebatian ini dengan air adalah seperti mencampurkan besi dengan air. Besi terus mendap ke bawah. Air yang digunakan Lynas di Gebeng akan disimpan beberapa hari sebelum dilepaskan. Ini bermakna sebatian thorium akan mendap.

Saya ingin penjelasan daripada SMSL. Sains dan teknologi apa yang boleh menyebabkan perairan di Laut Cina Selatan menjadi seperti apa yang berlaku di Fukushima, Jepun? Bagaimanapun, saya mengakui “habuk” daripada bijih atau galian dari Australia itu boleh membawa risiko. Garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menekankan keselamatan semasa pengangkutan dan pemprosesan berlaku. Saya pasti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengenakan syarat yang ketat dalam hal ini.

Dalam wacana ilmiah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 28 Mac 2011, Pengerusi AELB, Profesor Datuk Dr Sukiman Sarmani menyatakan sekiranya Lynas melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan, AELB akan mengeluarkan perintah “Hentikan Operasi”.

Harus diingatkan ketumpatan udara adalah lebih sedikit daripada ketumpatan gas nitrogen yang berat molekulnya 28 gram (gm) per mol. Berat molekul thorium dioksida adalah (232 + 32 >264) gm per mol. Berdasarkan angka 264gm per mol berbanding 28 gram per mol sudah pasti habuk thorium dioksida tidak akan wujud lama sebagai habuk dalam udara. Lebih cepat penurunan kewujudan habuk thorium sekiranya hujan. Kajian mengenai kanser paru-paru harus dijalankan untuk mengetahui kesan thorium kepada kesihatan. Kajian darah yang dicemari oleh thorium juga harus dilakukan sebelum membuat sebarang tuduhan melulu.

Saya tertarik dengan langkah Himpunan Hijau yang berkunjung menemui Pesuruhjaya Tinggi Singapura pada Mac lalu. Di dalam memorandum yang diberi, mereka meminta kerajaan Singapura menyatakan kebimbangan terhadap Lynas. Himpunan Hijau juga menyatakan kebimbangan makanan laut dari Kuantan yang dihantar ke Singapura akan mengandungi unsur radioaktif. Ironinya, Perdana Menteri Singapura pernah berhasrat membina janakuasa nuklear berasaskan bahan api thorium iaitu Liquid Fluoride Thorium Reactor (LFTR) dengan alasan ia tidak berbahaya dan efisien. Cadangan itu dimasukkan dalam pelan induk pembangunan tenaga republik itu. Cuba layari artikel “Thorium for Singapore” di www.thoriumsingapore.com.

SMSL mahukan zon penampan Lynas adalah 30 kilometer (km) daripada penempatan penduduk. Oleh kerana susah hendak mencari mana-mana kedudukan di republik itu yang jauhnya melebihi 30km dari Malaysia, saya cabar mereka membuat demonstrasi di sepanjang Selat Tebrau, Johor bagi menyatakan pendirian membantah janakuasa nuklear tersebut.

Jadi, apakah pendirian Himpunan Hijau sekarang. Masihkah hendak menyembah pemimpin Singapura untuk menyelesaikan masalah thorium di Gebeng?

Loji Lynas adalah kilang kimia dan ia sangat kecil jika dibandingkan dengan janakuasa nuklear yang akan dibina oleh Singapura. Thorium dari Australia adalah 1,900 bahagian per sejuta (ppm) atau 0.19 peratus tulen. Nanti di Singapura, thorium yang diguna adalah 100 peratus tulen. Adakah Himpunan Hijau akan diam seribu bahasa?

Perbuatan mengadu kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura adalah paling melucukan. Saya ingin juga menarik perhatian kepada mereka yang menggunakan lampu minyak gas. Mentol yang digunakan menggunakan thorium. Saya ingin tahu apakah pendirian pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong SMSL setelah mengetahui fakta ini. Lampu minyak gas inilah yang menerangi kota, desa dan pelbagai jenis kediaman lebih daripada satu abad. Thorium yang digunakan dalam mentol ini 99 peratus dan thorium di Gebeng nanti tak sampai satu peratus.

Di laman sesawang pihak Singapura itu kita akan mendapati kata-kata aluan “Welcome to the Future”.

Adakah kita akan menolak hakikat ini hanya berdasarkan hujah harga hartanah di Kuantan akan merudum hingga tiada nilainya. Harga hartanah di Singapura adalah beratus atau beribu ganda lebih tinggi berbanding nilai hartanah di Kuantan.

Loji nuklear akan dibina di tengah bandar raya Singapura, sedangkan Lynas di Gebeng. Kalau menggunakan ukuran 30 km dari kediaman yang dituntut SMSL, mana Singapura nak cari tempat sedemikian.

Pandangan rakyat dan kerajaan Singapura nampaknya berbeza sekali dengan pihak pembangkang. Oleh itu, benarkah kita ini lebih maju dalam pengetahuan sains berbanding dengan mereka? — Utusan Malaysia

* Dr A. Rahman Omar ialah lulusan Doktor Falsafah (PhD) Fizik Nuklear daripada Kansas State University, Amerika Syarikat.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.