Side Views

Chua Soi Lek keletihan kerana kaum Cina telah muktamad menolak MCA — Aspan Alias

April 15, 2012

15 APRIL — Chua Soi Lek semasa berada di Johor Bahru semalam telah menzahirkan perasaan kecewa beliau kerana kaum Cina tidak menyokong MCA sedangkan MCA telah begitu banyak berjasa kepada bangsanya selama ini. Orang Cina katanya, memilih untuk memberikan pujian dan sokongan terhadap pembangkang yang kata beliau tidak ada jasa kepada negara selama ini. 

Bagi saya, Chua Soi Lek (CSL) begitu naïf pandangannya terhadap politik dan sejarah yang melatar belakangkan keadaan ini. Pada asasnya orang Cina memang sudah lama tidak menyokong PERIKATAN dan seterusnya selepas Perikatan di ambil alih oleh BN pada tahun 1974 dahulu. Orang Cina hanya memberikan sokongan terhadap parti kerajaan semasa pilihanraya 1955 sehingga PRU 1965 sahaja. 

Semasa hendak mencapai kemerdekaan dahulu parti Perikatan ditubuhkan yang terdiri dari Umno yang mewakili orang Melayu, MCA yang mewakili orang Cina dan MIC yang mewakili kaum India. Pergabungan ketiga-tiga parti inilah yang membawa kepada kemerdekaan yang dipimpin oleh Umno pada tahun 1957 dahulu. 

Dalam lain-lain perkataan, semua kaum telah berjasa untuk mendapatkan tarikh pengisytiharan Kemerdekaan itu, iaitu pada 31hb Ogos 1957 dahulu dan Perikatanlah yang telah menyudahkan kerja-kerja perjuang Kemerdekaan sebelum wujudnya Umno dahulu. Sebelum wujudnya Umno, gerakan untuk mencapai kemerdekaan telah bermula dan kita tidak boleh melupakan nama-nama seperti Pak Sako, Ahmad Boestamam dan lain-lain yang ramai itu. 

Mari kita pendekkan cerita. Daripada PRU yang pertama lagi MCA merupakan rakan kongsi Umno dan MIC yang telah bekerja keras untuk memberikan sokongan kepada Perikatan dan dalam PRU itu Perikatan telah memenangi 51 kerusi dari 52 yang dipertandingkan. Calon Perikatan tunggal yang kalah ialah Hj Sulaiman Palestin. MCA juga telah mendapat sokongan semua kaum Cina dan didalam pilihanraya 1959 dan 1965 kaum Cina masih memberikan sokongan kuat kepada Perikatan. Semasa itu kaum Cina lah yang telah memberikan sokongan kepada MCA sehinggakan Perikatan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen. 

Parti-parti dalam Perikatan ini mempunyai keahlian yang berdasarkan kepada kaum. Matlamatnya ialah untuk Umno mendapatkan sokongan orang Melayu, MCA dari sokongan kaum Cina dan MIC untuk mendapatkan sokongan dari kaum India. Formula ini telah berjaya untuk mendapatkan kemenangan yang besar kepada Perikatan. 

Umno bertanding dikawsan-kawasan Melayu dan MCA bertanding dikawasan-kawasan bandar yang kebanyakkan pengundinya dari kaum Cina, MIC walaupun tidak ada tempat yang mempunyai pengundi kaum India terbesar tetapi telah diberikan beberapa kerusi yang bercampur-campur komposisi kaumnya. Itulah formula dan resipi kejayaan Perikatan semasa itu. 

Tetapi keadaan berubah dan pada PRU 1969 kaum Cina telah menarik sokongan dari MCA dan telah menjejaskan prestasi Perikatan dan dalam pilihanraya itu Perikatan terutamanya MCA telah kehilangan banyak kerusi dan kaum Cina telah mengalih sokongan mereka kepada parti yang baru iaitu parti Gerakan yang baru ditubuhkan oleh Syed Husin Al-Atas dan Gerakan telah mendapat kuasa untuk membentuk kerajaan Pulau Pinang. 

DAP telah mendapat beberapa kawasan ditengah-tengah bandar di Lembah Kelang dan Lembah Kinta. Kota Melaka telah dimenangi oleh DAP dengan calonnya Lim Kit Siang. PAS juga telah menambah beberapa kerusi termasuk kerusi Kota Setar di Kedah yang telah menewaskan Dr Mahathir Mohammad, calon Perikatan semasa itu. 

Selepas PRU inilah MCA tidak lagi mendapat sokongan sepenuhnya dari kaum Cina. Ini yang Chua Soi Lek mesti ingat supaya tidak mengumpat kaumnya dengan sewenang-wenangnya. Semasa itu Soi Lek belum pun wujud dalam politik MCA di mana-mana peringkat sekali pun. 

Hasil dari pertumpahan darah diantara kaum pada 13 Mai 1969, 3 hari selepas pilihanraya itu, negara telah mengisytiharkan penubuhan Majlis Tindakan Negara (MAGERAN) dan Parlimen telah digantung. Tun Abd Razak selaku Timbalam PM semasa itu, telah menjadi Pengarah MAGERAN yang diperuntukkan oleh Ordinan Dharurat. Kuasa sepenuhnya ada pada Tun Razak dan beliau mula melaksanakan tugas untuk menggubal daar-dasar baru dengan matlamat yang satu’ iaitu perpaduan nasional. 

Banyak dasar-dasar bary digubal untuk mencapai perpaduan nasional itu tetapi kita hanya sentuh tentang politik yang berkaitan rapat dengan matlamat perpaduan nasional tadi. Tu Razak telah memanggil kesemua parti politik untuk bergabung dibawah apa yang kita sekarang kenali sebagai Barisan Nasional (BN) Di semanjung parti Gerakan bersetuju untuk menyertai BN untuk bersama Umno, MCA, MIC supaya tidak banyak pertentangan di antara parti-parti dalam negara ini, kerana pertentangan parti itu bermakna pertentangan diantara kaum. 

Justru untuk menjaga representasi dalam kerajaan MCA terpaksa dibela oleh Umno (orang Melayu) dengan memberikan pemimpin-pemimpin tertinggi MCA turun bertanding dikawasan yang majoriti pengundinya orang Melayu. BN tidak mahu pemimpin-pemimpin utama MCA kecundang kerana kaum Cina mempunyai pilihan seperti DAP sebagai wadah perjuangan mereka. 

Itu sebabnya kita perhatikan Presiden MCA bertanding dikawasan Labis dan MIC bertanding dikawasan Segamat, Johor. Pemimpin-pemimpin besar MCA tidak bertanding dikawasan majoriti pengundi dari kaumnya sendiri. Oleh itu Soi Lek mesti faham yang MCA selama ini hanya boleh selamat dikawasan majoriti pengundinya dari kaum Melayu. Penolakan kaum Cina terhadap MCA memang sudah lama. Kalau tidak masakan pemimpin-pemimpin utama parti itu hanya bertanding dikawasan majoriti pengundi dari kaum Melayu. 

Rungutan Soi Lek itu agak tidak tepat. Beliau bersungut seolah-olah selama ini orang Cina memberikan sokongan padu kepada MCA sedangkan yang bersatu padu memberikan sokongan kepada MCA adalah kaum Melayu. Hanaya segelintiran kaum Cina yang menyokong parti itu selama ini bertindak menarik sokongan terhadap MCA sekarang ini. 

Apabila orang Melayu sudah ramai yang menolak UMNO maka MCA juga mendapat tempiasnya maka MCA pada hari ini hanya menunggu masa untuk pecah belah dan akan kecundang di dalam PRU yang akan datang ini. Tuduhan MCA yang ramai diantara calon-calonnya tewas dalam PRU yang lalu adalah oleh kerana Umno itu ada asasnya. Itulah sebabnya ada suara-suara dalam MCA sendiri mahukan MCA tidak lagi menjadi sebahagian dari BN. 

Yang MCA patut marahkan ialah Umno kerana jika Umno kecundang kali ini maka MCA akan terkubur dalam politik negara. Sekarang trend yang ada ialah rakyat berbilang kaum sekarang sudah letih dengan isu perkauman yang dimainkan oleh Umno dan juga MCA. Mereka tahu sentimen perkauman yang diperbesarkan oleh Umno atau MCA itu hanyalah sebagai taktik menakut-nakutkan orang Melayu dan Cina yang jika BN kalah maka akan timbul huru hara dan jelas isu itu tidak termakan oleh rakyat sekarang ini. 

Rakyat mahukan perpaduan diantara kaum, maka mana-mana pihak yang memainkan isu perkauman secara automatik ditolak oleh rakyat. Rakyat berbilang kaum tidak mahu lagi bergaduh diantara mereka semata-mata kerana di hangatkan oleh parti-parti dalam BN. 

Rakyat berbilang kaum kini mahu bersatu tetapi mereka mahu bersatu diluar BN. Itu pun sebabnya parti-parti dalam PR mendapat sokongan kerana ‘attribute’nya sebagai parti-parti berbilang kaum. 

CSL patut memahami yang orang Cina bukannya tidak sayang kepada MCA tetapi mereka lebih sayangkan perpaduan yang hanya boleh dirasai diluar BN. Selagi mereka menyokong BN selagi itulah lagu-lagu lama yang bersifat rasis itu berkumandang dimainkan oleh Umno dan MCA. Itu sebabnya orang Cina memberikan sokongan padu kepada DAP kerana sifat DAP sebagai parti berbilang kaum. 

Orang Cina telah mengambil keputusan untuk menyokong pihak yang tidak memainkan isu perkauman dan agama lagi. CSL sepatutnya melakukan introspeksi dirinya sendiri dan cari jalan untuk membetulkannya walaupu kita tahu jawapannya yang sebenarnya; MCA seperti Umno tidak mungkin berubah. 

Nampaknya biarlah rakyat yang melakukan perubahan tu. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.