Bahasa

Pemuda PAS Johor: Penganjur seminar perlu utama pengukuhan jati diri remaja Islam

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 29, 2012

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Dewan Pemuda PAS Johor beranggapan, seminar berkaitan anti Kristianisasi yang bakal berlangsung Sabtu ini bukanlah jalan penyelesaian terhadap masalah Kristianisasi yang melanda umat Islam.

Menurut Pengarah Kajian Polisi Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ) Shazni Munir Mohd Ithnin, kaedah “menunding jari kepada diri sendiri” oleh penganjur adalah lebih wajar kerana seminar sedemikian hanya mengundang konflik antara penganut Islam dan Kristian di dalam negara.

“DPPNJ melihat bahawa kaedah ‘menuding jari ke arah diri sendiri’ lebih wajar daripada penganjuran seminar sebegini yang hakikatnya tidak mampu menjadi ‘ubat’ kepada masalah yang berlaku, bahkan menimbulkan suasana kehidupan yang tidak kondusif pula antara Muslim-Kristian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Munir, pihaknya menyokong pendekatan yang membimbing masyarakat kembali kepada kehidupan beragama, namun menolak pendekatan yang tidak menyelesaikan masalah pokok yang melanda remaja Islam dewasa ini.

“Kami menyokong sepenuhnya segala usaha dalam membimbing umat ke arah kehidupan beragama namun menolak pendekatan yang tidak menyelesaikan masalah pokok.”

Jelasnya, perkara pokok berkaitan ajaran agama seharusnya diutamakan kerana pihak berwajib perlu kembali kepada perkara pokok, dan bukannya hanya menunding jari kepada sesetengah pihak.

“Secara asasnya, DPPNJ melihat penganjuran seminar ini, mungkin atas faktor keresahan pihak Jabatan Mufti dan Jabatan Pelajaran sendiri dalam melihat muda-mudi Islam di Johor yang hidupnya semakin tidak terpandu dengan ajaran agama,” katanya lagi.

“Namun demikian, keadaan dan situasi ini langsung tidak memberikan tiket percuma untuk kita melabel mana-mana pihak dengan semudahnya sebagai ‘ancaman’.”

Tegasnya, melatih pelajar untuk menunaikan solat adalah tiada kaitan dengan gerakan Kristianisasi.

“Untuk melatih pelajar-pelajar cintakan solat, pada hemat DPPNJ, ia langsung tiada kena-mengena dengan Kristianisasi.

“Justeru pihak DPPNJ lebih selesa dengan pendirian untuk menyemak imbang kembali proses dan pendekatan kita, bahkan atas kegagalan kita dalam memastikan proses bimbingan ke arah kehidupan beragama, yang masih lagi sehingga ke hari ini gagal terbentuk di sekolah-sekolah di Johor,” tambahnya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi